TANGKAK, 4 Januari - Dua wanita masing-masing berusia 74 dan 42 tahun maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan yang hilang kawalan selepas melanggar seekor kerbau di Tangkak, Johor, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, nahas itu turut menyebabkan dua lagi penumpang kereta mangsa serta pemandu sebuah kenderaan lain mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Tangkak.
"Insiden berlaku di Kilometer 33 Jalan Kebun Baru – Bukit Serampang.
"Siasatan mendapati kerbau terlibat telah melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan kenderaan terlibat melanggar haiwan itu, sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki mangsa," katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.