PERMATANG PAUH, 5 Jun - Inisiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menyediakan 100 ekor lembu dengan harga murah bagi ibadah korban di Parlimen Parmatang Pauh membuka peluang lebih ramai rakyat kurang berkemampuan menyertai ibadah tersebut.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, lembu terbabit dijual pada harga RM399 bagi satu bahagian lembu.
Ia lebih murah dari harga pasaran iaitu kira-kira RM800
"Inisiatif NACCOL ini adalah satu kaedah sangat baik yang boleh kita sebar luaskan ke seluruh negara. Pendekatan seperti ini tentu akan mempermudahkan program ibadah korban dan dapat disertai seramai mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Agihan Perdana 100 Ekor Lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh di Taman Arowana.
Sementara itu, urusetia ibadah korban menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan itu.
"Alhamdulillah, ini sememangnya akan membantu kerana dengan adanya lembu yang berharga murah macam ini lebih ramai dapat menyertai korban" kata Zulkifle Mohamad yang juga wakil urusetia ibadah korban Masjid Jamek Kubang Ulu..
Wakil uruseteia Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Nut Jamudin pula terkejut dengan harga lembu yang murah itu.
"Terkejut jugak dengan harga yang ditawarkan oleh NACCOL serendah RM399 dan kebetulan memang bomba berhajat untuk buat program ibadah korban pada tahun ini.
"Peluang ini memang kami gunakan sebaiknya. Alhamdulillah kami dapat enam ekor untuk korban kali ini," katanya.