KUALA LUMPUR, 20 Januari - Platform MyStartup dilihat sebagai inisiatif strategik untuk mencetuskan inovasi dengan memperkenalkan idea-idea baharu dalam perniagaan, khususnya dalam kalangan syarikat permula.
Menurut pakar ekonomi Dr. Ida Md Yasin, platform ini bukan sahaja mampu menawarkan penyelesaian baharu yang segar malah berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Katanya, MySyartup juga mampu menarik pelaburan baharu yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
"Syarikat permulaan adalah kaedah berkesan untuk mencari dan mengetengahkan idea-idea baharu dalam perniagaan serta berinovasi. Syarikat ini ditubuhkan untuk membawa idea segar yang boleh diambil oleh syarikat besar atau dimulakan sebagai perniagaan mereka sendiri," katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur berkata, platform ini juga memacu kolaborasi tempatan dan antarabangsa dengan menggabungkan pemain ekosistem untuk bekerjasama.
Ini termasuk dalam aspek pemasaran dan latihan.
"Mereka boleh memanfaatkan program yang membantu memasarkan produk ke luar negara, serta inisiatif kerajaan dalam memberikan sokongan dan latihan yang relevan," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pendaftaran 5,000 syarikat permula baharu menjelang akhir tahun ini.
Setakat ini, sebanyak 4,415 syarikat telah berdaftar, selaras dengan Pelan SUPER 2021-2030.