SANDAKAN, 20 Januari- Jenazah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Bintang Baru Rancangan Sungai Manila Batu 12 Sandakan, tengah hari tadi.
Bacaan talkin dipimpin Imam Kariah Alham bersama-sama Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan.
Allahyarham yang merupakan ADUN Sungai Sibuga meninggalkan seorang balu Datin Kalsom Abdul Aziz dan empat anak perempuan.
Allahyarham juga mempunyai seorang anak lelaki yang telah meninggal dunia akibat kanser pada 28 Ogos 2022.
Terdahulu jenazah dimandi dan disolatkan di Masjid Negeri Kota Kinabalu sebelum dibawa ke Sandakan melalui laluan darat.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada 2020, Datuk Mohamad Hamsan mewakili Barisan Nasional menang saingan lima penjuru kerusi DUN Sungai Sibuga dengan majoriti 1,538 undi.