fb fb fb fb fb

Muzium Terengganu perkenal sistem bayaran tanpa tunai

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (tengah) menyaksikan penyerahan kerusi roda oleh TNB yang diwakili Pengurus Besarnya, Ir Mohamad Mohyddin Mohamed Nor (dua, kiri) kepada Pengarah LMNT, CHE Muhammad Azmi Ngah pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Tanpa Tunai Muzium Negeri Terengganu, hari ini/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 18 April- Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) hari ini melancarkan perkhidmatan sistem pembayaran tiket tanpa tunai menggunakan kod QR bagi kemudahan pengunjung.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata kaedah itu diperkenalkan seiring dengan perkembangan digitalisasi dan permintaan oleh pelancong luar yang lebih selesa dengan kaedah pembayaran tanpa tunai.

Beliau yang juga pengerusi LMNT berkata, kemudahan pembayaran tiket menggunakan kod QR itu boleh didapati bermula Khamis.

"Sistem pembayaran tanpa tunai ini adalah titik permulaan untuk LMNT melangkah seiring dengan era digitalisasi. Ia telah digunakan dengan meluas di seluruh dunia.

"Sudah sampai masanya untuk LMNT terlibat secara serius dalam dunia digitalisasi termasuk mengadakan pameran dalam bentuk digital sebagai pembaharuan dan nilai tambah institusi," katanya selepas melancarkan sistem pembayaran tanpa tunai LMNT di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata, kemudahan itu diharap dapat meningkatkan jumlah pengunjung yang kini mencecah 1,000 orang sehari pada hari biasa dan meningkat kepada 4,000 orang sehari pada musim cuti.

Menurut beliau harga tiket yang dikenakan juga cukup rendah iaitu RM5 bagi orang dewasa, kanak-kanak (RM2), dewasa bukan warganegara (RM15), kanak-kanak bukan warganegara (RM10) dan pelajar sekolah beruniform (RM1).

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menerima sumbangan enam buah kerusi roda daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan pengunjung LMNT yang uzur.

"Kemudahan ini diharapkan dapat menggalakkan kedatangan pengunjung selain memberi keselesaan kepada mereka," jelasnya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI