fb fb fb fb fb

Pembatalan penerbangan: Apa yang penting keselamatan semua pihak kata Abdul Karim

Grafik

KUCHING, 18 April - Syarikat penerbangan perlu bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan penumpang yang terjejas ekoran pembatalan penerbangan di antara Kuala Lumpur dengan Sarawak dan Sabah susulan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara sedemikian tidak seharusnya ditolak kepada kerajaan mengambil tanggungjawab.

"Pembatalan penerbangan tidak dapat dielakkan kerana perkara yang lebih penting adalah keselamatan penumpang, anak kapal dan penerbangan.

“Saya percaya ini adalah sementara kerana kita perlu menunggu habuk dan serpihan daripada letusan gunung berapi itu hilang sebelum selamat untuk pesawat terbang.

“Walaupun pembatalan penerbangan mungkin menyusahkan penumpang, ia perlu untuk keselamatan mereka sendiri,” katanya selepas Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini hari ini.

Beliau juga percaya syarikat penerbangan lebih arif untuk mengendalikan para penumpang yang terjejas akibat insiden itu.

Terdahulu, Malaysia Airlines dalam kenyataannya memaklumkan pembatalan lapan penerbangan ke laluan Sarawak dan Kuala Lumpur.

Manakala Airasia pula membatalkan 16 penerbangan bagi laluan antara Sarawak dan Kuala Lumpur serta Sabah dan Kuala Lumpur.

Batik Air turut membatalkan 12 penerbangan di antara Kuala Lumpur dengan Sarawak dan Sabah.

GRACE AISYAH KEDAYAN