fb fb fb fb fb

Malaysia dipilih kali keenam untuk Makkah Route

Bakal jemaah haji ketika beratur di stesen berlepas Sepang yang dikendalikan oleh Tabung Haji/Foto Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Malaysia dipilih buat kali ke-6 bagi melaksanakan Program Pra-Perlepasan Jemaah Haji atau Makkah Route di samping enam negara lain Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata ia sekali gus mengukuhkan lagi kepercayaan dan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.

Menurut beliau, Makkah Route banyak membantu mempermudah urusan jemaah haji setelah mereka melalui penerbangan selama lapan jam.

"Mereka tidak perlu lagi menunggu lama setibanya di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan, yang membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan oleh TH.

"Ini termasuk disiplin tinggi dalam kalangan jemaah haji negara yang menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia," katanya ditemui pemberita ketika meninjau proses berkenaan di KLIA.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada tahun 2017.

Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada tahun 2018, 2019, 2022 dan 2023.

Pada tahun ini, Makkah Route telah diperluaskan keenam negara lain.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuh hubungan dua hala itu dalam Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445h/2024M yang turut dihadiri Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim.

Terdahulu, beliau menyantuni seramai 353 orang bakal haji negara dari kumpulan ke-38 melalui proses Makkah Route sebelum berlepas ke tanah suci pada pukul 2.15 pagi tadi menaiki pesawat Saudi Airlines SV 5013.

Setakat 21 Mei lalu, seramai 10, 400 orang jemaah haji Malaysia telah tiba di tanah suci melalui proses Makkah Route ini.

Terdapat 100 penerbangan sewa khas bagi musim haji tahun ini bermuda 9 Mei lalu dan penerbangan akhir dijadualkan pada 9 Jun nanti.

GRACE AISYAH KEDAYAN