fb fb fb fb fb

Musim monsun, keselamatan nelayan ditingkatkan

MELAKA, 16 November- Keselamatan nelayan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, khas pada musim monsun ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pelbagai usaha dijalankan untuk mempertingkat tahap keselamatan mereka termasuk menyediakan peruntukkan berjumlah RM100,000 bagi perolehan peralatan keselamatan nelayan di laut.


(Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah)

Beliau berkata, antara peralatan keselamatan yang diberi melalui peruntukkan di bawah kerajaan negeri Melaka itu termasuklah jaket keselamatan dan lampu kepala. 

"Seperti hari ini, kita serahkan jaket keselamatan dan lampu kepala kepada 1,157 nelayan berdaftar di Melaka sebagai usaha memastikan keselamatan mereka ketika di laut. 

“Selain itu, kita juga setiap masa membuat peningkatan bagi memastikan nelayan-nelayan yang turun ke laut ini selamat dengan tahap penjagaan yang lengkap. Ini supaya kita dapat meningkatkan lagi peralatan bot-bot nelayan dengan peralatan canggih. Sekarang mungkin yang lama-lama punya sudah tidak boleh pakai lagi, dan perlu ditukar baru," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Penyampaian Bayaran Insentif sara Hidup Secara One Off (kali keempat) bernilai RM250 kepada nelayan Negeri Melaka di Kompleks Japerun Tangga Bidara.

Ahmad berkata, beliau berharap bantuan berkaitan keselamatan nelayan ketika di laut itu digunakan sebaik mungkin.

"Setakat ini kita berpuas hati dengan tahap keselamatan pada bot dan langkah keselamatan yang diambil nelayan kita. Dalam masa yang sama, kita akan pastikan nelayan meningkatkan tahap penjagaan bot mereka," katanya.

Media Baharu