fb fb fb fb fb

Musim Harumanis kembali: Mampu jana pulangan lebih RM300,000

Orang ramai dinasihatkan agar berurusan secara terus dengan pengusaha sebenar bagi mengelakkan ditipu oleh peniaga tidak bertanggungjawab

KANGAR, 6 April – Musim buah harumanis yang menjadi kebanggaan negeri Perlis kembali mewarnai pasaran sejak awal Aidilfitri lalu dan dijangka berterusan sehingga Julai depan.

Dikenali dengan rasa manis dan aroma tersendiri, buah harumanis bukan sahaja memberi limpahan rezeki kepada pengusahanya.

Malah menyumbang kepada perkembangan sektor agropelancongan serta industri hiliran negeri.

Usahawan harumanis tempatan, Muhammad Mustaqim Abdullah berkata, bagi musim tahun ini, beliau menyasarkan pemasaran sebanyak 30 metrik tan harumanis menerusi Pusat Pengumpulan dan Penjualan Harumanis Abdullah Sekeluarga.

“Untuk musim 2025, hasil mula keluar sejak Februari dan Mac secara pra-musim, namun kemuncak musim bermula selepas Aidilfitri hingga Jun atau Julai nanti. Kami jangka pulangan melebihi RM300,000 tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika tinjauan RTM di pusat pengumpulan tersebut turut memasarkan pelbagai produk hiliran berasaskan harumanis seperti kordial dan isi sejuk beku.

Mustaqim turut menasihatkan orang ramai agar berurusan secara terus dengan pengusaha sebenar bagi mengelakkan ditipu oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama harumanis untuk keuntungan semata-mata.

“Pelanggan kena tahu cara memilih buah yang berkualiti dan sebaiknya beli terus dari ladang atau pusat jualan sah agar tidak tertipu dengan buah palsu,” ujarnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN