fb fb fb fb fb

Mudahkan urusan perdagangan, tingkat penyampaian perkhidmatan awam - PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun - Kerajaan akan memastikan urusan pemain industri perdagangan dan pelaburan negara dipermudahkan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia seiring dengan komitmen kerajaan bagi melonjakkan prestasi kedua-dua industri berkenaan termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.

Ismail berkata langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh.

"Sebagai contoh, sepanjang suku pertama 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.

(Ismail ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat
Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 
di Istana Negara)

“Jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini," katanya di sini.

Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri berkata usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID-19 semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik.

"Terkini ekonomi negara mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya. Bagi tahun ini, kerajaan bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus sebagaimana yang diunjurkan,” kata Ismail.

Beliau berkata pembukaan sempadan juga merancakkan usaha pemulihan ekonomi khususnya sektor pelancongan dengan peningkatan kemasukan pelancong asing.

"Seramai 2 juta pelancong asing dijangka mengunjungi Malaysia pada tahun ini yang akan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara,” katanya lagi.

Media Baharu