KUANTAN,11 Oktober-Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pahang memberi tumpuan di 763 kawasan berisiko banjir yang dikenalpasti pada fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku November ini sehingga Mac tahun depan.
Kawasan terbabit dikenalpasti di sepanjang 459 kilometer Sungai Pahang melibatkan lima daerah iaitu, Jerantut, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, sumber data maklumat tersebut daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang.
"Jadi hotspot-hotspot ini, pasukan-pasukan kita akan memantau secara berkala mengikut kepada ramalan MET katakanlah contoh hotspot tu di Dong di Daerah Raub. Jadi katakanlah dapat maklumat awal malam tadi ada hujan lebat, jadi pagi ini, pasukan pemantau wajib pergi untuk melihat keadaan", katanya demikian ketika sidang akhbar persediaan APM Pahang menghadapi MTL di Ibu Pejabat APM Pahang di sini.
Katanya sebagai persediaan menghadapi banjir, APM menggerakkan seramai 660 anggota mahir dan terlatih, 72 buah kenderaan air dan 56 buah kenderaan darat.
Kesemua aset tersebut telah diagihkan kepada 11 daerah di Pahang.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyumbang lima buah bot pancung kepada lima buah kampung iaitu Kampung Kuala Tembeling, Kampung Pagi, Kampung Bantal, Kuala Sat dan Kuala Tahan.