fb fb fb fb fb

MRTM Aidilfitri 2022, lebih 50,000 pengunjung dijangka hadir

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Lebih 50,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula malam ini di Dataran Drawbridge di sini.

Pelbagai pengisian menarik disediakan bermula dengan ceramah agama pada malam ini.

Turut disajikan persembahan kebudayaan, demonstrasi makanan warisan dan promosi pakej pelancongan hingga Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata MRTM bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya MOTAC dianjur bertujuan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan aktiviti kesenian negeri selain memperkukuh jalinan silaturahim.

Menerusi program ini golongan asnaf dan anak yatim turut diraikan.

Mereka akan dirai dalam acara Rewang Raya dengan pembahagian daging lembu bersama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pagi esok.

Sementara, para tetamu boleh memeriahkan Kenduri Rakyat MRTM ini yang berkonsepkan layan diri bermula pukul 6 petang esok.

Majlis kemuncak MRTM 2022 bakal diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali gus merasmikannya pada pukul 9 malam.

Sebanyak 20 jenis hidangan tradisional disediakan untuk dinikmati, termasuk menu tradisional negeri Terengganu sebagai tuan rumah MRTM buat kali pertama.

(Fadli ditemui pemberita ketika persiapan majlis tersebut)

"Dan kita harapkan melalui program ini akan menjadi satu pemangkin dalam industri pelancongan di Terengganu. Daripada program ini juga kita harapkan kedatangan pelancong daripada negeri-negeri pantai timur dan juga disuruh Malaysia akan menjadi satu penanda aras kepada permulaan industri pelancongan di Terengganu," kata Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.

Peringatan turut diberi kepada pengguna jalan raya yang akan melalui jambatan ikonik di Kuala Terengganu untuk menggunakan laluan alternatif bermula pukul 7.30 malam esok dalam tempoh sejam untuk pembukaan jambatan.

"Kita dibantu oleh PDRM pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) memberi bantuan khidmat nasihat, akan membantu juga keurusetiaan dari segi nasihat dan juga keselamatan, bagi memastikan aliran trafik dapat disiap sedia. Dan juga diberi maklumat dahulu bagi memastikan kedatangan pengunjung dan juga tetamu yang akan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia nanti akan berjalan dengan baik," kata Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Terengganu, Zanariah Zakaria.

Pengunjung yang hadir dinasihat sentiasa patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan keselamatan bersama.

Ini merupakan penganjuran pertama MRTM setelah dua tahun menyepi akibat pandemik COVID-19.

Media Baharu