fb fb fb fb fb

HFMD: Kesedaran ibu bapa perlu dipertingkat- Khairy

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Semua pihak terutama ibu bapa perlu diberi kesedaran serta pengetahuan berkaitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) khususnya aspek kebersihan kendiri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan ia penting bagi mencegah lebih banyak kes HFMD direkodkan di sekolah.

"Sekiranya anak mereka ada tanda-tanda awal atau gejala supaya mereka tak hantar mereka ke taska atau ke sekolah. Banyak kes HFMD ini berlaku di taska dan tadika disebabkan kanak-kanak kecil, tangan masuk ke dalam mulut, lepas tu ia akan merebak melalui air liur, jadi yang penting penerangan diberi kepada ibubapa apa itu HFMD, apakah gejala ataupun tanda- tandanya dan apakah langkah apabila ibu bapa kesan ada tanda HFMD,"katanya.

Selain itu, pemilik premis terutama taska dan tadika disaran agar sentiasa melakukan pembersihan setiap hari terhadap premis masing-masing.


(GAMBAR FAIL)

Orang ramai boleh menyemak status kes HFMD di kawasan masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, Khairy menyuarakan keyakinan, rakyat mampu menjayakan proses peralihan dari fasa pandemik ke endemik.

Ia berdasarkan tingkah laku baik serta kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mengekang penularan COVID-19.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada rakyat berikutan faktor jumlah kes COVID-19 yang dilihat masih terkawal sejak kebelakangan ini.

Selain itu, jumlah pemberian vaksinasi yang tinggi juga merupakan faktor yang membantu dalam mengawal kes jangkitan COVID-19.


(GAMBAR FAIL)

"Rakyat Malaysia sudah tahu macam mana nak hidup dengan COVID. Mereka juga tahu sekiranya ada gejala jangan keluar, jangan campur dengan masyarakat dan mengasingkan diri.

"Tidak perlu lagi kita kuat kuasakan undang-undang dan pergi hantar notis kompaun sebab saya nampak berbanding dengan negara lain mungkin mereka lebih longgar dari segi SOP mereka. Dari segi pematuhan kepada SOP kita tengok semua pakai pelitup muka, tak ada apa-apa masalah," tambah Khairy lagi.

Terdahulu beliau merasmikan persidangan Hari Asma Sedunia 2022 di ibu negara.

Media Baharu