fb fb fb fb fb

Modul Aspirasi Utama, perkukuh karakter dan insaniah pelajar UiTM

Majlis pelancaran Modul ASPIRASI UTAMA oleh Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin Naib Canselor UiTM, turut bersama Profesor Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM dan barisan pengurusan universiti./ Foto UiTM

SHAH ALAM, 3 Oktober-Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Buku ‘Modul Aspirasi Utama bersempena sambutan Minggu Destini Siswa (MDS) serta Ulang Tahun Universiti berkenan ke-25 semalam (Rabu).

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata modul tersebut memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa sebagai generasi peneraju masa depan dan dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepimpinan.

"Modul ini tidak hanya berfokus kepada akademik, tetapi turut memperkasa pelajar dengan kemahiran insaniah yang diperlukan dalam mendepani cabaran global pada masa hadapan. Mahasiswa UiTM harus bersedia dengan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan nilai-nilai sosial yang kukuh,"katanya ketika berucap pada majlis perasmian modul berkenaan di sini.

Tambahnya, Modul ASPIRASI UTAMA adalah hasil gabungan sinergi pelbagai pihak dan pakar pembangunan modul pelajar di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), dengan penyelarasan daripada Institut Kepimpinan Pelajar (IKP).

Jelas beliau,modul berkenaan dirangka untuk memupuk nilai kepimpinan, menjaga kesihatan mental, serta melatih pelajar untuk mendepani cabaran semasa dan keselamatan negara.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Mohd Sazili Shahibi yakin Modul Aspirasi UTAMA merupakan peluang terbaik untuk mempersiapkan pelajar UiTM dengan kemahiran bersifat insaniah.

"Pencapaian akademik semata-mata tidak lagi memadai dalam dunia yang semakin kompetitif.

"Kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan keperibadian yang utuh adalah antara elemen penting yang perlu dimiliki oleh pelajar", katanya di sini.

DNA UiTM iaitu "Usaha, Takwa, Mulia" turut diterapkan pada Modul berkenaan sebagai kerangka asas dalam membentuk pelajar yang berdaya saing, inovatif, dan kreatif.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD