fb fb fb fb fb

MKI haramkan 12 buku, bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Pengerusi Muzakarah Kebangsaan, Datuk Dr. Nooh Gadot

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-125 telah mengambil ketetapan dan bersetuju memperakukan 12 buku mengandungi ajaran yang bertentangan dengan akidah, dikenakan Perintah Larangan oleh Kementerian dalam Negeri. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Nooh Gadot dalam satu kenyataan berkata buku-buku itu perlu diharamkan kerana ia bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Al Asya’irah Al-Maturidiyyah), syariah dan akhlak Islam serta boleh mengelirukan umat Islam. 

Antara buku-buku itu ialah The Goal of the Wise, Manusia sebelum Adam, Suhuf Abraham dan Jalan Kebenaran Universal. 

Beliau turut melarang umat Islam di Malaysia memiliki, menyimpan, mencetak dan menjual serta mengedarkan apa apa terbitan berkenaan isi kandungan buku-buku tersebut.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa MKI kali ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September tahun lalu telah membincangkan mengenai Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Media Berunsur Islam (JPMBI) kali ke-96.

Sementara itu, MKI menasihati umat Islam di negara ini agar mengikut lunas-lunas ajaran Islam ketika berbicara dan memberi pendapat di media sosial termasuk isu –isu perkauman dan agama. 

Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, mengutamakan akhlak yang baik dalam percakapan mahupun penulisan adalah satu tuntutan agama manakala menggunakan kata-kata yang boleh menyakiti sesama Islam mahupun kaum lain bertentangan dengan Islam yang menekankan perpaduan dan saling hormat-menghormati.

Tambahnya, ia adalah bertepatan dengan Kempen Kalimah Toyyibah yang digagaskan oleh Menteri di Jabatan  Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengajak masyarakat mengamalkan budi bahasa yang sopan, santun dan berhemah dalam pergaulan serta menjadikan Rasullullah SAW sebagai contoh terbaik.

Beliau turut  menyeru  seluruh umat Islam di Malaysia dan kaum-kaum lain bersikap ikhlas, bertanggungjawab dan  berhati- hati jika ingin berbicara mahupun melontarkan pandangan di media sosial.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE