fb fb fb fb fb

MITI sasar tarik pelaburan, teroka perniagaan di peringkat antarabangsa bersama sektor korporat - Tengku Zafrul

DAVOS, 18 Januari- Misi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) bukan sahaja untuk menarik pelaburan ke Malaysia tetapi juga meneroka peluang perniagaan bagi syarikat tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata tugas mempromosi Malaysia bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, malah ia turut digalas oleh sektor korporat.

Justeru, katanya, misi MITI ke sini kali ini turut disertai agensi di bawah kementerian tersebut seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestKL selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd, Petronas dan Sime Darby yang akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai syarikat terkemuka dunia.

“Kita telah menyediakan ruang yang kondusif di Malaysia House untuk memudahkan pelbagai perbincangan yang telah diatur. Insya-Allah, semua usaha kita akan membuahkan hasil, demi Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Forum tahunan WEF ke-53 yang berlangsung dari 16-20 Jan itu menghimpunkan seramai 2,700 pemimpin mewakili 130 negara, termasuk 52 ketua negara di bandar peranginan Davos ini, di Pergunungan Alps.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
FOTO BERNAMA

Forum bertemakan ‘Kerjasama Dalam Dunia Terpisah: Menangani Krisis Mendesak, Mengendalikan Cabaran Masa Depan,’ itu dianjurkan di tengah-tengah pelbagai krisis yang telah meningkatkan lagi perpecahan serta pemisahan landskap geopolitik dunia.

Delegasi Malaysia ke WEF bagi tahun ini diketuai Tengku Zafrul yang dijangka menyertai sesi termasuk berkaitan kos perpecahan ekonomi, rantaian bekalan, pengangkutan dan juga ‘Living with Risk’ (Hidup Bersama Risiko) yang mana beliau merupakan antara tiga ahli panel bagi sesi tersebut. -BERNAMA

Media Baharu