fb fb fb fb fb

Misi ke Gaza: Kapal kini di perairan Greece, situasi terkawal

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 September - Misi flotila ke Gaza kini memasuki hari ke-27 dengan kapal-kapal berada di perairan Greece dan dilaporkan masih belum memasuki zon kuning.

Menurut laporan rasmi Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan sihat dan selamat, tanpa sebarang insiden direkodkan sejak serangan bom bunyi oleh 15 dron pada 22 September lalu.

Susulan serangan itu, Kerajaan Itali dan Sepanyol menghantar dua kapal tentera bagi membantu kawalan keselamatan di Laut Mediterranean.

"Kapal-kapal tersebut kini berada berhampiran flotila, selain turut dipantau oleh pihak 'Coast Guard Greece'.

"Daripada aspek teknikal, berlaku kerosakan di kapal Family Mediera serta beberapa kapal lain.

"Bagaimanapun, kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan segera, di samping penstrukturan semula kedudukan peserta di bot untuk memastikan keselamatan.

"Setakat ini, tiada bot menarik diri daripada misi, meskipun terdapat beberapa kapten dan krew kapal yang berundur.

"Sekretariat Flotila dilapor sudah menggantikan mereka dengan krew terlatih," menurut laporan itu.

Dalam masa sama, SNCC menegaskan agar semua pihak hanya merujuk pusat itu sebagai sumber sahih berhubung perkembangan misi, sekali gus menangkis propaganda dan perang psikologi yang cuba melemahkan semangat para delegasi.

Sementara itu, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby menegaskan bahawa misi flotila tetap diteruskan sehingga ke Gaza.

Beliau turut menyeru penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat antarabangsa agar terus memberi sokongan moral serta tidak terpengaruh dengan naratif salah yang dimainkan pihak Zionis.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM