fb fb fb fb fb

BUDI95: JPJ rekod peningkatan 53% pembaharuan lesen memandu

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan ketara sebanyak 53 peratus dalam transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) di seluruh negara/Foto Hiasan/Bernama

AYER MOLEK, 27 September – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan ketara sebanyak 53 peratus dalam transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) di seluruh negara susulan pengumuman subsidi bersasar petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) oleh kerajaan sejak 22 September lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, purata harian pembaharuan CDL sebelum pengumuman itu adalah kira-kira 17,000 transaksi, namun melonjak kepada 26,000 transaksi sehari selepas tarikh berkenaan.

2709 NSL JPJ BUDI95 2Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli/Foto Bernama

“Setakat 26 September, negeri-negeri yang bercuti hujung minggu pada hari Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu telah membuka kaunter operasi pada hari cuti mereka. Jumlah urusan pembaharuan lesen memandu yang tinggi direkodkan berbanding negeri lain.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa inisiatif pembukaan kaunter pada hari cuti memberi impak yang sangat positif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat serta masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Profesionalisme Pegawai Pengangkutan Jalan Tahun 2025 di Jalan Tiang Dua, di sini.

Bermula hujung minggu ini hingga 26 Oktober depan, semua kaunter JPJ berkaitan urusan lesen memandu serta semakan senarai hitam saman termasuk kaunter penguat kuasa akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad di seluruh negeri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN