MUAR, 27 September - Lebih 5,000 peserta dijangka menghadiri Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Selatan yang berlangsung selama tiga hari sehingga 29 September di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, Johor.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pemilihan Johor sebagai tuan rumah adalah pengiktirafan terhadap usaha berterusan kerajaan negeri dalam memupuk minat generasi muda terhadap pendidikan STEM.
“Johor diberikan amanah sebagai tuan rumah untuk program ini dengan pelbagai aktiviti di bawah Pusat Sains Negara. Aktiviti ini bukan sahaja melibatkan pelajar, malah masyarakat setempat bagi memperlihatkan bahawa sains berada di mana-mana sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Selatan di Kompleks Sukan Pagoh, Muar.
Sementara itu, Johor akan menambah baik garis panduan pendedahan teknologi kecerdasan buatan (AI) di sekolah negeri itu, selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan.
Tumpuan khusus turut diberikan bagi memperkukuh penguasaan STEM dalam kalangan pelajar.