LONDON, 3 Jun - Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Brussel dan London berjaya memarbatkan industri minyak sawit negara.
Ini dibuktikan apabila United Kingdom (UK) memberi komitmen untuk mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam tempoh terdekat.
Manakala Kesatuan Eropah (EU), terbuka untuk mendengar padangan negara mengenai pelaksanaan peraturan bebas penebangan hutan (EUDR).
Datuk Seri Fadillah menjelaskan, reaksi positif turut diterima pada pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa UK, Nigel Huddleston serta Menteri luar, komanwel dan pembangunan UK, Andrew Mitchell.

"Komitmen daripada kedua-dua Menteri di UK sangat positif, bahkan mereka sudah berikan komitmen bahawa MSPO kita akan menjadi sebahagian daripada dokumen yang akan diiktiraf dalam proses usaha wajar," kata Fadillah.
Bercakap kepada media Malaysia di London, Fadillah yakin penerimaan MSPO oleh UK akan membuka lebih banyak peluang perniagaan bagi London dan kuala lumpur.
Beliau berkata, MSPO yang diperkenalkan pada 2013 telah mengalami evolusi dan berkembang menjadi skim pensijilan yang komprehensif dan boleh diterima di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, bagi EU, setakat ini mereka menerima pandangan Malaysia mengenai kekangan yang bakal dihadapi pekebun kecil tempatan jika EUDR dilaksanakan kelak.
"EU lebih kepada untuk melindungi industri mereka sendiri, lebih kepada pendekatan empayar industri mereka, begitulah cara kita melihatnya supaya mahu mengekang kos menjalankan perniagaan yang lebih mahal kepada pesaing supaya mereka mampu bersaing," katanya.
Misi mengadakan pertemuan dengan EU adalah misi bersama Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Malaysia mempunyai kira-kira 700,000 pekebun kecil dalam bidang pertanian, dengan kira-kira 450,000 pekebun kecil terlibat dalam sektor minyak sawit.
Laporan disediakan Farahiah Zubir di London.