IPOH, 3 Jun - Perak bercadang menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa ke negeri itu, dalam usaha menggalakkan kemasukan pelancong asing, sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata cadangan tersebut adalah mewujudkan laluan penerbangan antara bandar raya ini dan Negara Vietnam.
"Jadi perbincangan tersebut lebih tertumpu kepada penerbangan tambang rendah dan pelancongan bajet bagi merancakkan industri pelancongan negeri.
“Saya yakin Vietnam juga mempunyai lapangan-lapangan terbang yang sama seperti di Ipoh. Untuk itu, kita sedang melihat potensi ke arah sektor pelancongan antara dua negara ini, yang lebih menjimatkan atau kos rendah," kepadanya kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Lawatan Suai Kenal atau ‘Fam Trip’ Batik Air Vietnam di Taman Tema Lost World Of Tambun, dekat sini, malam tadi.
(Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee)
Terdahulu Loh meraikan 30 pemain industri pelancongan Vietnam pada program yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia Ho Chi Minh City dan Batik Air di Lost World of Tambun.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha itu memerlukan tempoh yang agak panjang, ketika negara masih dalam fasa peralihan ke endemik susulan COVID-19.
Perak menyasarkan kemasukan lapan juta pelancong domestik ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Kerajaan negeri optimis sasaran mampu dicapai dengan program pelancongan menarik yang ditawarkan, selaras dengan proses pemulihan daripada pandemik COVID-19.
Tahun Melawat Perak 2024, menawarkan ‘Pelancongan Pemulihan dan Pemuliharaan’ bertujuan merangsang pendapatan ekonomi menerusi pelancongan dan menyumbang kembali kepada ekologi serta pemulihan alam sekitar.