JOHOR BAHRU, 3 Jun - Kerajaan Johor menyarankan agar laluan kontra diaktifkan bagi mengatasi kesesakan luar biasa yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kesesakan luar biasa sejak Khamis lepas itu berlaku susulan musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu.
Beliau berkata, lebih 258,000 pengembara menggunakan laluan di BSI dan 63,000 pengembara di KSAB direkodkan pada petang Khamis.

"Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, saya meminta pengurusan BSI dan KSAB mempertimbangkan laluan kontra dibuka khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam.
"Laluan kontra ini boleh diaktifkan bagi pergerakan masuk dan keluar dari negara ini dalam tempoh tertentu, seperti musim cuti sekolah atau musim perayaan," kata Onn Hafiz menerusi kenyataan.
Beliau turut menyarankan pengguna Tambak Johor dan Laluan Kedua merancang perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan.
Terdahulu, Onn Hafiz membuat tinjauan ke CIQ BSI susulan aduan orang ramai mengenai kesesakan luar biasa di pintu masuk di Tambak Johor.