(Masyarakat asli menggayakan salah satu persalinan tradisi)
ALOR SETAR, 2 September- Mini Perkampungan Budaya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) ditampilkan dalam siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Timbalan Pengarah JKOA, Khairul Anuar Che Zakaria berkata pihaknya mengetengahkan adat kebudayaan kaum itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk persembahan tarian sewang sepanjang program berlangsung.
Selain itu, pengunjung juga dapat melihat bagaimana kehidupan masyarakat orang asli suku kaum temiar dan tradisi mereka.
Selain acara menyumpit, demonstrasi masakan dan makanan tradisi kaum itu turut diadakan.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan kraftangan dan kesenian yang dibuat sendiri dan produk kesihatan berasaskan daripada tumbuhan hutan.
(Tarian Sewang turut dipersembahkan di Mini Kampung Budaya JKOA)
Menurut Khairul Anuar Che Zakaria, "antara hasil jualan kraftangan dan kesenian masyarakat orang asli adalah niru, bakul ikan dan sebagainya.
"Antara hasil hutan yang dijual adalah tongkat ali, kacip fatimah dan kunyit hitam untuk meningkatkan kesihatan serta mengurangkan sakit."
Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga ahad.
Cabutan bertuah sebuah kereta dan barangan lain, turut menanti pengunjung yang bertuah.