KUALA LUMPUR, 14 Julai - Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 dari 17 hingga 20 Julai 2025 di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Dengan tema "Harmoni Dalam Kepelbagaian", sambutan itu akan menjadi platform utama dalam memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang menerusi penglibatan secara langsung masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif.
Penganjuran program itu adalah untuk merapatkan jurang perbezaan serta memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati yang menjadi asas kekuatan negara.
Antara pengisian utama termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa dari Jabatan Muzium Malaysia dan Pavilion Perpustakaan Malaysia.
Selain itu terdapat juga Food Unites, Jualan MADANI, jualan kraftangan dan produk usahawan tempatan termasuk pesta durian, Larian Uniti, sukan tradisional, kejohanan e-sukan, Kembara Iimu, Pesta Buku Pulau Pinang, Wayang Pacak, Pertandingan Boria Terbuka, Peragaan Busana Tradisional dan Pertandingan Tarian Etnik Sekolah Rendah.

Antara aktiviti yang akan diadakan pada Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang
Pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat turut disediakan termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Beberapa pameran agensi kerajaan dan aset keselamatan juga akan diadakan sebagai usaha meningkatkan kefahaman rakyat terhadap fungsi dan peranan agensi-agensi terlibat.
Tidak ketinggalan beberapa artis ternama tanah air seperti Datuk Awie, Stacy, Jaclyn Victor, Black Hanifah, Shila Zikir, dan Suki Low serta persembahan khas oleh kumpulan nasyid Hijjaz dan Inteam.
Persembahan istimewa Muzikal Didi & Friends turut disediakan buat pengunjung cilik, manakala pertandingan seperti Bintang Idol Perpaduan dan Battle of the Band akan memberi ruang kepada bakat baharu.
Kementerian Perpaduan Negara mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia ke sambutan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh keharmonian nasional.
Majlis perasmian sambutan itu akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Julai pukul 10.30 pagi.
Artikel ini dibawakan Kementerian Perpaduan Negara