fb fb fb fb fb

MINDEF terajui Program MADANI Rakyat 2025 Melaka

Ketua Komunikasi Korporat PACU Pejabat Perdana Menteri, Sapian Mamat/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), agensi peneraju utama Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 edisi Melaka yang akan berlangsung di Politeknik Merlimau dari 17 hingga 19 Oktober depan.

Program kali ini akan menampilkan pelbagai pengisian berkaitan aspek pertahanan dan keselamatan negara.

Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, Sapian Mamat berkata, objektif utama penganjuran adalah memastikan rakyat mendapat akses mudah kepada maklumat, bantuan dan perkhidmatan kerajaan tanpa perlu melalui saluran berlapis.

“MINDEF akan memperkenalkan pelbagai program dan aktiviti berkaitan peranan Angkatan Pertahanan Malaysia. Ini menjadikan PMR Melaka lebih unik berbanding edisi sebelum,” jelasnya.

Sepanjang program, sebanyak 28 reruai kementerian dan agensi kerajaan akan dibuka, menampilkan lebih 150 perkhidmatan “touchpoint” untuk kemudahan pengunjung.

Dalam masa sama, 20 gerai jualan dan 40 sesi libat urus turut diadakan bagi memperkukuh penyampaian dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Program ini turut menampilkan mini karnival kerjaya melibatkan 10 majikan dengan 1,000 kekosongan pekerjaan ditawarkan.

Tarikan lain termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, perkhidmatan kesihatan bergerak, kaunter saman, program penukaran minyak enjin motosikal serta perkhidmatan gunting rambut percuma oleh sukarelawan RELA.

Turut disediakan, aktiviti mesra keluarga seperti pemberian anak benih pokok dan zoo haiwan jinak untuk menarik penyertaan komuniti setempat.

EMMI NORALIZA ADNAN