fb fb fb fb fb

Mindef bantu anggota, veteran ATM terjejas banjir

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari

KOTA BHARU, 11 Januari- Seramai 131 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) direkodkan terkesan akibat bencana banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.
 
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah tersebut melibatkan 49 anggota di bawah Briged Kelapan Infantri Malaysia manakala seramai 47 veteran terjejas bencana itu di Kelantan dan 35 orang di Terengganu.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga masih mengumpul maklumat lengkap mengenai anggota atau veteran tentera yang terjejas akibat banjir termasuk di Johor.
 
“Kita di Jabatan Hal Ehwal Veteran memang akan melihat dari segi beberapa aspek lah pertama dari segi pembaikan rumah kalau  bencana banjir tu menyebabkan kerosakan dan sebagainya dan kita sedang membuat penilaian jabatan ini dan kita akan bantu anggota dari segi keperluan selepas banjir terutama terkait juga dengan peralatan elektrik dan seumpamanya," katanya.
 
Terdahulu, Adly mengadakan lawatan kerja pascabanjir di Padang Kawad, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, di sini, hari ini yang turut dihadiri  Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Muzamil Ali.
 
Kata Adly, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan aset atau kem tentera yang rosak serta ditenggelami banjir.

Tambahnya, kira-kira 18,000 anggota ATM telah bersedia dalam penugasan banjir kali ini.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, lebih 33,000 veteran ATM telah menerima manfaat daripada skim kebajikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan jumlah bantuan keseluruhan bernilai lebih RM62.5 juta.
 
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI