fb fb fb fb fb

Anwar, Hsien Loong hadir saksi pemeteraian MoU JS-SEZ

pemeteraian Memorandum Persefahaman Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan rakan sejawatannya, Gan Kim Yong / FOTO Pejabat Perdana Menteri

JOHOR BAHRU, 11 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hadir menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), di sebuah Hotel di sini. 

MoU berkenaan ditandatangani Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan rakan sejawatannya, Gan Kim Yong. 

Pemeteraian MoU JS-SEZ itu dilaksanakan hanya selepas dua bulan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 Oktober lalu.

Ia sekali gus mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama terjalin dan usaha ke arah perjanjian penuh mengenai JS-SEZ dan perinciannya akan dilakukan pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, yang akan diadakan di negara ini.

Melalui MoU berkenaan, ia meningkatkan aliran rentas sempadan membabitkan komuniti dan barangan, memperkukuh ekosistem perniagaan dan meningkatkan daya tarikan ekonomi antara Johor dan Singapura.

Selain daripada perjanjian itu, Malaysia dan Singapura juga akan menerokai kerja mengenai beberapa inisiatif yang akan membina ke arah JS-SEZ termasuk pusat perkhidmatan perniagaan/pelaburan sehenti di Johor untuk memudahkan proses permohonan untuk pelbagai kelulusan dan lesen yang diperlukan untuk perniagaan Singapura ditubuhkan di Johor.

Antara usaha lain termasuk lah, implimentasi sistem QR bagi pelepasan bebas pasport di kedua dua pintu masuk bagi memberi kemudahan dan kelancaran urusan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN
Pemukiman Malaysia - Singapura bawa manfaat ekonomi, selesai isu berbangkit




KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD