fb fb fb fb fb

MINDEF, KDN terima peruntukan lebih RM21 bilion

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan RM21.7 bilion sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima RM21.2 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu adalah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara meliputi tiga ikhtiar utama.

"Pertama, menyelenggara dan membeli aset pertahanan - RM6 bilion. Ini termasuk perolehan baharu; Medium, Short dan Very Short Range Air Defence; dua buah Multi Role Support Ship; dan 10 kenderaan MALBATT.

"Kedua, menyelenggara dan membeli aset PDRM dan badan beruniform bawah KDN - RM1 bilion. Ini termasuk perolehan baharu; 100 buah pickup 4x4 untuk risikan dan operasi PDRM empat bot ronda Fast Patrol Vessel, Pasukan Polis Marin; sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Bagi ikhtiar ketiga ia meliputi membina dan menaik taraf fasiliti baharu badan beruniform dengan kos lebih RM1.5 bilion.

Antaranya Kompleks Maritim Malaysia Negeri di Tok Bali, Kelantan; IPK Sarawak dan Balai Polis Lawin, Gerik, Perak; Pembaharuan Kompleks Bersepadu APMM dan Pasukan Polis Marin, Labuan.

Selain itu ia turut melibatkan Kompleks Zon Maritim Kudat, Sabah; Pusat Latihan Artileri, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan; Naik taraf ICQS Sungai Tujoh, Miri, Sarawak; Bangunan tambahan Batalion 23, PGA Sri Aman, Sarawak; Tiga Pos PGA baharu di Sungai Nibong, Sungai Banting dan Sekinchan, Selangor.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh pengoperasian pada Jun 2026 akan digantikan dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu.

Sementara itu syarikat dianugerahkan kontrak perolehan MINDEF, melalui skim PROTÉGÉ akan menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran dan di samping memberi latihan sijil dan diploma kepada angggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bersara.

Ia termasuk pembiayaan program Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan menerima RM45 juta untuk terus melindungi sempadan negara.

Perkara itu bagi memenuhi keperluan 220 tenaga kerja AKPS, keutamaan diberikan untuk melantik daripada kalangan veteran tentera bagi kesiapsiagaan penuh.

Untuk rekod, lebih 10,000 warga asing telah dihalang masuk dan menyita barangan yang cuba dibawa secara tidak sah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI