PERAI, 12 Ogos- Parti komponen Barisan Nasional, MIC akan mendekati pengundi di Pulau Pinang menggunakan pendekatan baharu dan progresif.
Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang, J. Dhinagaran berkata, parti itu kini menggunakan pelbagai kaedah alaf baharu dalam mendekati pengundi, khususnya kaum India di negeri ini termasuk kaedah penyaluran bantuan daripada kerajaan pusat dengan memperkenalkan mekanisme baharu agar kualiti kehidupan masyarakat India di Pulau Pinang terus mendapat pembelaan sewajarnya.
J. Dhinagaran juga berharap semua tohmahan palsu serta janji kosong yang menjadi medan untuk memperdaya pengundi sebelum ini dijadikan iktibar kaum India untuk membuat keputusan bernas.
(Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang, J. Dhinagaran)
"Oleh kerana itu, kita telah bekerja kuat seperti kita telah membuat jalinan rakyat, jumpa dengan pengundi terutamanya di kawasan Perai dan juga di kawasan Bagan Dalam. Dua kerusi ini adalah kerusi MIC dengan pertolongan UMNO dan juga MCA, kami telah mendekati pengundi-pengundi di kawasan-kawasan ini dan saya harap kali ini pengundi tidak akan percaya apa yang telah dibohong atau kata-kata manis yang akan dikeluarkan kepada masa yang akan datang dan selama-lamanya Barisan Nasional yang boleh menjaga rakyat di Pulau Pinang," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniady berkata, pihaknya kini telah merangka pelan baharu dalam mendekati pengundi India, khusus kaum wanita di Pulau Pinang.
"Selain latihan teknikal, satu program tanaman sayuran dalam kawasan masing-masing untuk memperoleh pendapatan sambilan dijangka memberi impak kepada kaum hawa di Pulau Pinang," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita MIC Pulau Pinang ke-38 di sini.