fb fb fb fb fb

Mesyuarat MA63 diputuskan selepas rombakan kabinet - TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 16 Disember- Mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diputuskan selepas rombakan kabinet Persekutuan.

Kenyataan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini selepas menjadi panel dalam Forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.

Dalam forum tersebut, beliau menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan semua persetujuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilaksanakan secara berkesan, yang disifatkan sebagai cabaran utama.

"Itu akan menjadi cabaran. Contohnya, terdapat peruntukan sebanyak RM6 bilion setiap tahun untuk pembangunan fizikal dan lain-lain. Cabarannya ialah, apabila tiba hujung tahun, hanya sekitar 80 hingga 90 peratus sahaja yang digunakan. Kenapa ia berlaku sebegitu," kata Datuk Seri Fadillah.

Salah satu persetujuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menetapkan bahawa projek bernilai RM50 juta dan ke bawah diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan, dengan penglibatan jawatankuasa teknikal.

Bagaimanapun, cabaran utama yang sering timbul adalah keupayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek-projek berkenaan.

Tambah Datuk Seri Fadillah, tumpuan diberikan kepada pelaksanaan yang cekap bagi memastikan setiap peruntukan dapat dibelanjakan sepenuhnya dalam tahun kewangan yang berkenaan.

Selain itu, isu tafsiran undang-undang yang melibatkan perbezaan pandangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri masih diperhalusi dan memerlukan masa untuk diselesaikan, memandangkan ia melibatkan aspek Perlembagaan serta undang-undang di peringkat Persekutuan dan negeri.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM