SEREMBAN, 6 Oktober- Pelajar senior yang bertindak sebagai fasilitator pada minggu orientasi universiti perlu menerapkan nilai-nilai baik dan menjadi contoh teladan kepada pelajar baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pendedahan terhadap nilai murni penting agar pelajar baharu dapat menghayati objektif penubuhan universiti dan memahami peranan mereka sebagai mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki akhlak dan budi pekerti yang mulia.
"Jadi, melakukan 'prank' (gurauan mengejutkan) terhadap pelajar baharu bukanlah satu contoh yang baik.
"Fasilitator perlu memainkan peranan penting untuk membantu universiti dalam memastikan pelajar baharu dapat memahami serta dididik dengan hasrat dan tujuan universiti itu ditubuhkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2024/2025 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat Nilai di sini hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video yang menunjukkan beberapa fasilitator di sebuah universiti awam seolah-olah bertengkar semasa aktiviti orientasi.
Namun, insiden tersebut didakwa hanya gurauan yang telah dirancang lebih awal.