Kuantan, 26 Oktober - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan menambah baik fasiliti Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di setiap daerah negeri itu bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan mental terbaik masyarakat setempat.
Pengarah JKNP, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata perancangan itu ke arah menangani masalah kemurungan yang semakin meningkat di negeri itu.
"Kita akan berusaha ke arah itu, kita merasakan masyarakat lebih terbuka pergi ke klinik MENTARI berbanding pergi ke hospital, sebab ke hospital itu akan ditulis klinik pakar sakit jiwa, klinik mental.
"Jadi mereka rasa seperti dia stigma..'eh tak nak pergilah' malu dan sebagainya sedangkan dalam jiwa mereka itu sudah bergelodak dengan masalah masalah kemurungan tetapi tetapi terbantut disebabkan isu dia rasa distigmakan walaupun sebenarnya kita tidak buat seperti itu," kata Dr. Nor Azimi di sini.
(Dr. Nor Azimi ditemui pemberita
pada Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia (ANMS) Siri 1,
Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) dan
Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2022)
MENTARI kini berada di dua lokasi iaitu di Mentakab dan di Balok, di sini.
Mengulas lanjut beliau berkata , sejak pandemik COVID-19 kedatangan orang ramai untuk mendapatkan bantuan pakar psikiatri di hospital di negeri ini turut mencatatkan peningkatan akibat pelbagai masalah seperti dibuang kerja, kewangan dan masalah keluarga.
Pada tahun 2019, kadar kemurungan pesakit yang berumur 18 tahun dan ke atas di Pahang ialah 3.6 peratus.