BUKIT BERUANG, 12 Disember - Kempen Internet Selamat (KIS) di Melaka akan diperluas tahun hadapan bagi memastikan setiap pelajar dan warga pendidik menerima pendedahan menyeluruh mengenai keselamatan dalam talian.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, berkata penambahbaikan itu dirumus susulan pelaksanaan kempen berkenaan sepanjang tahun ini.
"Kita sedar pelibatan setiap sekolah masih belum merangkumi semua pelajar. Hasil pascanilai bersama MCMC, kita bersetuju bahawa tahun hadapan kempen ini akan diperkembangkan lagi. Pendekatan baharu ini akan memberi fokus kepada setiap sekolah bagi memastikan semua pelajar dan guru menerima input mengenai Kempen Internet Selamat," katanya.
Datuk Fairul berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Karnival Kempen Internet Selamat Peringkat Wilayah Selatan yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Komunikasi), Mano Verabathran, di sini.
Setakat 30 November lalu, KIS telah dilaksanakan di 319 institusi pendidikan dan agensi kerajaan, melibatkan lebih 20,000 peserta.