fb fb fb fb fb

Melaka galak orang ramai pakai pelitup muka di tempat awam     

(FOTO FAIL/ BERNAMA)

AYER KEROH, 29 April- Kerajaan negeri Melaka menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam termasuk di sekolah, terutama membabitkan mereka yang bergejala COVID-19 seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata berkata langkah itu sebagai salah satu usaha untuk mengekang penularan COVID-19 di negeri itu walaupun kes harian wabak berkenaan dilaporkan semakin berkurang.

"Melaka akan mengikuti saranan, garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan atau dikeluarkan KKM sekiranya ada, dan setakat ini pemakaian pelitup muka di tempat awam hanya disarankan, bukan diwajibkan.

"Namun sekiranya dalam masa terdekat, pemakaian pelitup muka diwajibkan, maka kita akan mengikuti SOP itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

KKM sebelum ini mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes COVID-19, selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.


(Ngwe Hee Sem menyampaikan duit raya pada Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Kerajaan
Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh)

Media Baharu