PUTRAJAYA, 19 Januari- Kaedah pelaksanaan subsidi bersasar akan diputuskan oleh Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet, minggu depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kertas memorandum Jemaah Menteri mengenai mekanisme penyasaran semula subsidi itu telah dihantar hari ini.
"(Kaedah) subsidi bersasar akan dibawa minggu depan, (sudah) hantar kepada Jemaah Menteri hari ini dan akan diputuskan minggu depan.
"Selepas keputusan dibuat mengenai kaedah (penyaluran subsidi bersasar). Itu (akan) membolehkan kerajaan mengumumkan bentuk-bentuk bantuan subsidi bersasar.
“(Jadi) terpulang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bila masa yang sesuai untuk buat pengumuman (penyasaran semula subsidi),” katanya dalam sidang media Pangkalan Data Utama (PADU) di sini.
Rafizi turut menasihatkan orang ramai untuk mendaftar dan mengemas kini sistem PADU agar memudahkan kerajaan menyemak serta menyalurkan bantuan kepada golongan sepatutnya.
Beliau menjangkakan penyasaran subsidi bersasar akan bermula pada suku kedua tahun ini, mengambil kira tempoh pendaftaran PADU yang akan tamat pada Mac ini.