Media perkukuh pertahanan negara, tangkis propaganda luar

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyantuni pengamal media dalam majlis berbuka puasa di ibu negara. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Media berperanan penting membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat, sekali gus memperkukuh asas pertahanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memupuk semangat patriotisme agar rakyat faham tanggungjawab bersama mempertahankan kedaulatan negara.
  • Media membina solidariti rakyat menentang ancaman, termasuk propaganda luar yang cuba memecahbelahkan keharmonian kaum.
  • Keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab angkatan tentera; ia memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia.
  • Program Cakna Autisme ATM beri kesedaran, saringan awal dan rujukan intervensi untuk kebajikan keluarga anggota.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semangat patriotisme perlu terus dipupuk agar rakyat memahami tanggungjawab bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Media boleh memainkan peranan membina solidariti rakyat untuk membantu bersama menentang apa sahaja ancaman terutama propaganda luar yang cuba memecahkan keharmonian pelbagai kaum yang terdapat dalam negara,” katanya
pada majlis berbuka puasa Menteri Pertahanan bersama pengamal media di ibu negara.

Menurut beliau, dalam situasi geopolitik semasa termasuk konflik di Asia Barat, setiap negara perlu sentiasa berwaspada dan memperkukuh keupayaan keselamatan masing-masing.

Tegasnya, keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab angkatan tentera, sebaliknya memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertahanan menyasarkan 500 hingga 800 keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat manfaat melalui Program Cakna Autisme ATM tahun ini.

Daripada jumlah itu, antara 150 hingga 300 kanak-kanak dijangka menjalani saringan awal autisme.

“Ada tiga fasa program ini fasa kesedaran pendidikan akan disediakan pakar ceramah dan fasa kedua saringan kedua penilaian profesional dan seterusnya rujukan sokongan yang mana rangkaian hospital dan pusat intervensi serta sesi sokongan akan disediakan oleh pihak pharmaniaga,” katanya.

Program dengan kerjasama anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu Pharmaniaga itu memberi fokus kepada kesedaran ibu bapa, saringan awal serta rujukan untuk intervensi yang lebih cepat dan berkesan.

Inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen ATM dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan keluarga anggotanya terus terpelihara.