fb fb fb fb fb

MED4IRN bangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara, tingkat produktiviti negara- PM

KUALA LUMPUR, 17 Februari- Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) akan dibangunkan dalam usaha mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik seterusnya meningkatkan produktiviti negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pelan itu dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing dan meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara

"Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada 2030," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bagi 2022, hari ini secara dalam talian yang turut dihadiri menteri, ketua jabatan dan agensi berkaitan.

Menerusi kenyataannya juga, kerajaan akan menubuhkan satu Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL.

"Mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta (public-private partnership).

"Projek Pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara. Antara contoh projek pemangkin adalah pertama, perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.

"Kedua, projek Bandar Pintar, menyasarkan pelbagai kes kegunaan (use cases) berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna," katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut sedar mengenai kemajuan dan pencapaian beberapa inisiatif yang dijalankan sebelum ini.

Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan 1,189 menara 4G baharu telah dibina dari September 2020 hingga Disember 2021.

Jelasnya, di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95 peratus setakat 31 Disember 2021.

Selain itu, Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

DNB menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36% liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun 2022.

"Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac 2022 di seluruh Malaysia. Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat," katanya.

Ismail Sabri berkata keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti diharapkan menjelang 2030.

Media Baharu