fb fb fb fb fb

MCMC cadang tambah baik kemudahan Internet di Pulau Kapas, Pulau Gemia

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turun padang mengadakan tinjauan ke Pulau Kapas dan Pulau Gemia di Terengganu/Foto MCMC

KUALA LUMPUR, 6 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil inisiatif untuk turun padang dan mencadang penambahikan liputan Internet di Pulau Kapas dan Pulau Gemia, Terengganu.

MCMC berkata, ia sebagai usaha membantu mempertingkatkan perkhidmatan telekomunikasi melibatkan pengusaha sektor pelancong di kedua-dua pulau terbabit.

Menurut MCMC, liputan jalur lebar 4G oleh enam penyedia perkhidmatan buat masa ini dapat dinikmati pengunjung di Pulau Kapas manakala liputan di Pulau Gemia adalah masih rendah serta sedang di bawah pemerhatian MCMC untuk tindakan penambahbaikan.

“MCMC juga telah mengenalpasti beberapa lokasi bagi memperluas radius liputan Internet sedia ada di sekitar pulau tersebut.

“Cadangan penambahbaikan ini akan merangkumi pengukuhan aspek keselamatan dan tindak balas kecemasan di masa hadapan dan dijangka akan memberikan pengalaman yang lebih baik buat para pelancong yang berkunjung ke Pulau Kapas dan Pulau Gemia.

“Kemudahan Internet yang baik banyak membantu para pengusaha bot dan resort, serta para peniaga di Pulau Kapas dan Pulau Gemia dalam kelangsungan penjanaan pendapatan harian mereka,” jelas kenyataan itu pada Ahad.

MCMC berkata, industri pelancongan merupakan antara sektor ekonomi utama di Terengganu yang memainkan peranan dalam mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi tempatan.

Menurut MCMC, Pulau Kapas dan Pulau Gemia adalah antara lokasi tarikan yang menjadi tumpuan ribuan pelancong dari dalam dan luar negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN