fb fb fb fb fb

MBMB tambah baik Undang-Undang Kecil Beca

Tiada had kawasan ditetapkan kepada pengayuh beca di Melaka dalam Undang-Undang Kecil (UKK) Beca, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) / Foto RTM

AYER KEROH, 6 September - Tiada had kawasan ditetapkan kepada pengayuh beca di Melaka dalam Undang-Undang Kecil (UUK) Beca, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Menurut Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman pengayuh beca bebas mengambil pelancong di mana-mana kawasan di negeri itu.

Walau bagaimanapun, pengayuh beca dikehendaki mempamerkan tanda pengenalan diri seperti kad lesen pengayuh dan nombor pendaftaran beca bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pusat hentian yang mereka didaftarkan.

Ini bertujuan memudahkan urusan antara pengayuh beca dan pelancong, termasuk dalam menangani sebarang aduan.

"Sebagai contoh, sekiranya pengayuh beca mengambil pelancong dari Menara Taming Sari dan menurunkan mereka di Jam Besar, kita mahu tahu lokasi asal mereka berkumpul.

"Sekiranya ada pelancong yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka di tengah perjalanan, mereka masih boleh mengambil penumpang, tetapi kita ingin tahu di mana stesen asal mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Garis Panduan Pengayuh Beca Negeri Melaka di MBMB, di sini.

Shadan turut menegaskan bahawa penambahbaikan terhadap UUK Beca ini bertujuan melindungi pengayuh beca tulen di Melaka serta mengelakkan kehadiran pengayuh beca 'Ali Baba' yang biasanya muncul semasa cuti panjang.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk penetapan caj RM50 sejam bagi perkhidmatan beca kepada pelancong, keperluan menjalani sesi temu duga semasa pembaharuan lesen, serta had umur pengayuh beca yang ditetapkan antara 18 hingga 70 tahun.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN