fb fb fb fb fb

MBI perkenal Pelan Strategik Kumpulan sempena ulang tahun ke-30

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari / Foto RTM

SHAH ALAM, 26 Feb – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperkenalkan Pelan Strategik Kumpulan (GSB) sempena ulang tahunnya yang ke-30 tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelan tersebut akan menjadi hala tuju MBI sehingga 2028 bagi memastikan agensi itu terus menerajui ekonomi negeri.

“Ada beberapa strategi yang akan diperkemaskan oleh MBI, antaranya peningkatan pendapatan dan keuntungan, dengan sasaran pendapatan RM8 bilion pada 2026 serta keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.2 bilion. Selain itu, strategi penjimatan kos bernilai RM250 juta menjelang 2026 turut dirangka bagi meningkatkan keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam 30 Tahun Jubli Mutiara di Setia Alam, pada Selasa.

Tambah Amirudin, MBI kini sedang melaksanakan penstrukturan organisasi yang lebih jelas bagi meningkatkan pendapatan melalui anak syarikat.

Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan Selangor berjaya mengutip hasil sebanyak RM579 juta setakat Februari tahun ini.

Beliau optimis sasaran kutipan hasil sebanyak RM3 bilion tahun ini mampu dicapai sekiranya semua penjawat awam dan agensi berkaitan bekerjasama.

“Kalau kita ada persefahaman, bertolak ansur, fleksibel dan bekerja sebagai satu pasukan, kita yakin boleh mencapai pencapaian yang membanggakan,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN