KEMAMAN, 7 Disember - Operasi mencari dan menyelamat seorang individu yang dipercayai terjatuh ketika memeriksa bot miliknya di Sungai Kemaman tamat, selepas mayat mangsa ditemukan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika mengesahkan penemuan itu berkata, mayat Muhammad Anuar Syhukrimi Mahmod, 31 tahun ditemukan terapung kira-kira 500 meter menghala ke arah Kuala Kemaman dari lokasi kejadian.
"Operasi yang disambung semula 7 pagi tadi ditamatkan pada pukul 10 pagi selepas mayat mangsa ditemukan.
"Pencarian menggunakan teknik di permukaan air melibatkan beberapa bot pada radius 1 kilometer menghala ke arah Kuala Kemaman.
"Faktor fenomena air pasang besar dipercayai telah menyebabkan mayat mangsa terapung di tengah sungai. Mayat kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi proses pengecaman ahli keluarga sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan seterusnya,"katanya.