KUALA LUMPUR, 11 Disember- Mayat lelaki yang ditemukan dalam sebuah bagasi di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang semalam, disyaki warga asing.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan tiada tanda suntikan BCG pada mangsa.
"Hasil bedah siasat dijalankan pakar patologi Hospital Serdang hari ini turut mendapati tiada kecederaan lain pada badan mangsa kecuali patah di bahagian hidung.
"Mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an dengan ketinggian 155 sentimeter dan berat 45 kilogram, berpakaian baju dan seluar pendek floral warna hijau serta cincin perak di jari kanan.
"Mayat juga dalam keadaan lengkap anggota badan dan punca kematian tidak dapat dipastikan serta menunggu keputusan makmal," katanya..
Bagaimanapun Naazron meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga hadir ke Hospital Sedang untuk membuat pengecaman berdasarkan barang bukti yang ditemukan bersama mangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai urusan berkaitan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Umesh A/L Ratna Kumar di talian 012-6114900.
Semalam, media melaporkan mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan dalam bagasi oleh orang awam kira-kira pukul 11.45 pagi dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.