fb fb fb fb fb

Jualan lelong jadi tumpuan selepas banjir di Rantau Panjang

Kebanyakan barangan dijual pada harga moda/Foto Rastwin

RANTAU PANJANG, 11 Disember - Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan lelong yang ditawarkan selepas banjir besar menenggelamkan banyak premis perniagaan di kawasan ini.

Inisiatif itu dilakukan peniaga untuk mengurangkan kerugian selepas premis mereka dilanda musibah, dengan kebanyakan barangan dijual pada harga modal.

Seorang peniaga, Matinah Ab Latif, 45, berkata meskipun kedainya berada di lokasi tinggi dan tidak mengalami kerosakan teruk, ramai peniaga lain di kawasan itu kehilangan hampir semua stok kerana premis mereka ditenggelami air.

“Kami jual murah, hanya pada harga modal. Walaupun untung kecil, sekurang-kurangnya ada pulangan untuk menampung kos yang lain,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Wan Ahmad Baharin, 38, berkata harga lelong yang ditawarkan sangat berpatutan, terutama bagi barangan yang masih berkualiti.

“Daripada barang-barang ini dibuang begitu saja, lebih baik dijual. Saya ambil peluang ini untuk membeli barangan keperluan dan pada masa sama membantu peniaga yang terjejas,” katanya.

Walaupun menanggung kerugian besar akibat banjir kali ini, rata-rata peniaga yang ditemui bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa melibatkan keluarga mereka.

GRACE AISYAH KEDAYAN