BALING, 27 Februari- Seorang pemuda ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika hendak memukat ikan.
Kejadian berlaku di Sungai Besar Kampung Padang Pulai, Kuala Ketil dekat Baling, Kedah, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsuddin Mamat berkata, mangsa, Muhammad Shauqi Ashraf Jasni, 26 tahun, berasal dari Kampung Padang Pulai keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi dan pergi ke sungai berkenaan dengan menaiki motosikal untuk memukat ikan.
Bagaimanapun, kira-kira pukul 8.30 pagi, mangsa disedari hilang oleh ayahnya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis dan penduduk kampung.
Mangsa yang mempunyai penyakit sawan dipercayai terjatuh dan tergelincir ke dalam sungai.
Mayat mangsa ditemui penduduk kampung tidak jauh dari lokasi mangsa memasang pukat kira-kira pukul 11.45 pagi.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kulim untuk bedah siasat.