KOTA KINABALU, 28 April- Geran berjumlah RM30,000 disalurkan kepada Persatuan Perubatan Sukan Malaysia (MASM).
Ia bagi menyokong usaha persatuan meningkatkan peranan serta mewujudkan perkhidmatan sektor industri sukan yang mampan secara berterusan.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Gala sempena Program Kongres Perubatan Sukan Persekutuan Asia ke-18 dan Persidangan Perubatan Sukan Antarabangsa dan Sains Sukan ke-8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, malam tadi.
Menurutnya, kongres dan persidangan dua hari itu, membolehkan pakar perubatan di seluruh Asia saling bertukar pengetahuan, hasil penyelidikan serta amalan terbaik dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, menerusi 232 perkongsian dan poster pembentangan serta 18 simposium berkenaan, ia mampu memberi manfaat besar kepada Institut Sukan Negara (ISN). Antaranya, mempersiapkan kakitangan terhadap perkembangan terkini bidang perubatan sukan serta meningkatkan pemahaman dan kepakaran di lapangan.
Dalam perkembangan lain, Hannah Yeoh turut memaklumkan platform seperti Persekutuan Sukan Asia Perubatan juga menyediakan banyak rangkaian peluang berharga antara golongan profesional dan institusi sesebuah wilayah.
Justeru, penyertaan 37 buah negara dalam kongres berkenaan membolehkan kolaborasi berkaitan projek penyelidikan, program gabungan latihan serta perkongsian sumber dan kepakaran.
Sementara itu, persidangan turut memberikan ISN akses kepada sumber yang lebih luas seperti keterlibatan golongan profesional menyokong usaha dalam bidang perkembangan etika, pencegahan kecederaan dan pengoptimuman pelaksanaan sukan.