KUALA LUMPUR, 4 November – Semua masjid utama di negara ini diminta untuk memberi perhatian dan menaik taraf keperluan fasiliti bagi orang kurang upaya (OKU) untuk memudahkan mereka beribadah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata langkah itu susulan perkongsian yang tular di media sosial mengenai kekecewaan seorang lelaki OKU yang mengalami kesukaran untuk mengambil wuduk di Masjid Putra, Putrajaya.
"Kita akan berusaha memastikan segala kemudahan diberikan kepada semua pengunjung, tidak kira sama ada mereka yang sempurna fizikal atau OKU.
"Kita mahu masjid-masjid dimiliki dan dihadiri oleh semua lapisan masyarakat. Usaha akan dilakukan untuk memudahkan urusan mereka beribadat," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Ulama’ dan Umara’ (JMUU) peringkat negeri zon tengah di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Perkongsian di Facebook oleh seorang individu menunjukkan kepayahan yang dihadapi ketika terpaksa berjalan jauh untuk mengambil wuduk di Masjid Putra kerana ketiadaan kemudahan tandas atau tempat mengambil wuduk berdekatan.
Individu tersebut mendakwa kemudahan yang ada hanya disediakan untuk 'VIP' sahaja.
Na’im turut memaklumkan bahawa beliau akan berjumpa dengan individu berkenaan untuk mendapatkan pandangan tentang penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk menjadikan masjid lebih mesra OKU.