(FOTO FB KPDN Kelantan)
KOTA BHARU, 5 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan sudah berjaya memulihkan bekalan gula sebanyak 98 peratus.
Ia menerusi pengedaran bahan mentah itu kepada 280 premis di seluruh negeri ini bagi memulihkan semula bekalan bahan mentah itu di pasaran.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, agihan itu melibatkan pemborong, pasar raya dan peruncit di seluruh negeri.
"Menerusi Op Manis yang dijalankan oleh pihak kami, KPDN Kelantan mendapati bekalan sudah pulih. Kita turut mendapati tiada pembelian panik yang dilakukan oleh pengguna," katanya.
(Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail/ BERNAMA)
Azman berkata pemeriksaan dan pemantauan oleh pasukan Task Force KPDN Kelantan dalam Ops Manis 2023 mendapati setakat hari ini, pasar raya utama yang terpilih iaitu semua cawangan Mydin telah menerima bekalan gula.
Manakala pasar raya yang mengambil bekalan dengan Distribution Centre (DC) seperti Econsave, Aeon Mall, Giant dan Lotus masih lagi mempunyai bekalan tapi tidak mampu memenuhi permintaan setempat.
Sebanyak 34 premis telah diperiksa dalam Ops Manis dan bekalan didapati telah diterima di kebanyakan premis yang diperiksa selain tiada pembelian panik oleh pengguna serta tiada aktiviti sorok dikesan sepanjang pemeriksaan.
Sementara itu Azman berkata setakat ini pihaknya menerima 17 aduan membabitkan sembilan aduan mengenai ketiadaan bekalan gula, tiga aduan berkaitan enggan menjual, dua aduan menyorok bekalan dan tiga aduan mengenai harga mahal.