fb fb fb fb fb

Maritim Terengganu gagalkan cubaan seludup rokok bernilai hampir RM1.2 juta

(Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar
Abd Majid menunjukkan sebahagian daripada rokok yang dirampas)

KUALA TERENGGANU, 10 April- Aktiviti menyeludup masuk dua juta batang rokok putih dengan nilai hampir RM1.2 juta di Muara Sungai Setiu, digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia-Maritim Negeri Terengganu bawah Operasi Khas Seludup Rokok Putih-Op SEROP pada pukul 5.30 pagi semalam.

Ia hasil daripada maklumat risikan selama beberapa hari oleh agensi tersebut.
 
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bagi melaksanakan operasi tersebut, sebuah bot maritim ditugaskan bagi memantau lokasi yang dikenal pasti, iaitu di persekitaran perairan Besut.
 
Hasilnya, bot rondaan tersebut mengesan sebuah bot pancung enjin sangkut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan memasuki kawasan cetek untuk meloloskan diri selepas menyedari kehadiran mereka diperhatikan.
 
Maklumat diperolehi itu kemudiannya disalurkan kepada pasukan bertugas di darat untuk proses penahanan.
 
Pada masa yang sama, pasukan tersebut mengesan sebuah lori lima tan dalam keadaan mencurigakan sebelum serbuan dilaksanakan.
 
"Kesemua rokok ini belum dipastikan dari mana asalnya lagi, tapi masih dalam siasatan. Ketika bot dihampiri, semua krew terjun melarikan diri, berapa orang juga saya tidak pasti kerana keadaan gelap,"katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut menemukan sejumlah bungkusan plastik hitam berisi rokok putih, ditinggalkan suspek sebelum melarikan diri.
 
Kepten Maritim Mohd Khairulanuar berkata demikian pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Maritim Negeri di Kuala Terengganu.
 
Menurutnya, kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d), Akta Kastam 1967.
 
Selain itu siasatan terperinci juga sedang dijalankan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek.


(Bot yang digunakan oleh penyeludup turut dirampas Maritim Terengganu)

Media Baharu