fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia selamatkan nelayan sakit dada di laut

Maritim Malaysia menyelamatkan seorang nelayan tempatan yang dilaporkan sakit dada di kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi / Foto Maritim Malaysia

KOTA TINGGI, 29 Jun - Seorang nelayan tempatan berdepan detik cemas selepas mengalami sakit dada ketika keluar ke laut di kedudukan 12 batu nautika Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, 9.40 pagi, pada Jumaat.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata mangsa, Shamsul Ma’arif, 37 tahun membuat panggilan kepada Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dan memohon bantuan kecemasan.

"Bot Ronda Maritim Malaysia, PETIR 12 digerakkan ke lokasi mangsa dan tiba pada pukul 12.15 tengah hari.

"Mangsa dibawa menaiki bot dan tiba di Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 2.30 petang sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk mendapatkan rawatan," katanya menerusi kenyataan.

Lelaki itu dibenarkan pulang setelah menjalani pemeriksaan dan dinasihatkan untuk berehat daripada melakukan kerja berat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN