fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia Kuala Perlis rampas 56 set bubu naga

(FOTO MARITIM MALAYSIA)

KUALA PERLIS, 1 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 56 set bubu naga di kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika dari barat persisiran pantai Kuala Perlis, Perlis sekitar 12.30 tengah hari semalam.

Bubu tersebut dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia iaitu bot KILAT 5 yang sedang melaksanakan rondaan Op Aman / Op Tiris di perairan Negeri Perlis melalui pelampung-pelampung bersaiz kecil yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataannya memaklumkan, pelampung kecil tersebut adalah penanda lokasi di mana bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM6,160 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.


(FOTO MARITIM MALAYSIA)

Media Baharu